Malaysiakini
BERITA

'Tak mahu campur tangan politik? Buka kementerian sendiri'

Diterbitkan
Dikemaskini 10 Mac 2020, 3:15 petang

Belum sampai 24 jam selepas Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz diangkat sebagai menteri kewangan baru, Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin memberi "peringatan" terhadap bekas CEO Kumpulan CIMB itu.

Bung merujuk dengan kenyataan Tengku Zafrul yang berharap isu politik tidak menganggu tugasnya di kementerian itu nanti.

"Menteri kewangan baru dilantik dalam ucap tamanya menyatakan no political interference in his ministry (tiada campur tangan politik dalam kementeriannya), dia tak sedar pelantikannya atas move (gerakan) politik, kalau ini lah pendirianya lebih baik dia buka kementeriannya sendiri," kata Bung dalam satu kiriman Twitter.

Kenyataan itu mendapat pelbagai reaksi dari pengguna media sosial.

Salah seorang pengguna media sosial mencadangkan agar Bung menarik balik kritikannya, namun pengerusi Umno Sabah itu membalas dengan: "No retreat, no sorry" (pantang undur, pantang minta maaf).

Dalam kiriman berasingan, Bung menjelaskan bahawa kritikan seperti itu adalah perkara biasa.

"Perkara normal dalam kehidupan saya, walau pun dalam BN dulu, saya sentiasa menyuarakan perkara yang tidak betul untuk diperbetulkan, dia orang baru dan perlu diberi peringatan," katanya.

Selepas mengangkat sumpah, Tengku Zafrul menyatakan harapannya itu dan berkata apa yang perlu difokuskan adalah cabaran ekonomi yang sedang dihadapi negara.

"Saya harap begitu. Saya rasa apa yang kita perlukan sekarang adalah untuk fokus mengenai cabaran, dengan cabaran yang mendatang.

"Dan saya pasti kamu semua tahu apa cabaran-cabarannya dari segi ekonomi," katanya.

Tengku Zafrul berkata demikian apabila diminta mengulas sama ada beliau mampu mengasingkan politik daripada kementeriannya nanti dan sama ada beliau bebas untuk melakukan tugasnya.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Langgan dan sokong media bebas

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.