BERITA

'Mesej tersembunyi' dalam nasihat Siti Zailah salah, kata SIS

Diterbitkan
Dikemaskini 11 Apr 2020, 7:23 pagi

Sister in Islam (SIS) berpandangan mesej tersembunyi di sebalik nasihat Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Siti Zailah Mohd Yusoff berkenaan hubungan suami isteri ketika perintah kawalan pergerakan (PKP), sebagai tidak boleh diterima.

NGO itu berkata nasihat Siti Zailah itu, yang dinyatakan menerusi video berdurasi lima minit, mempunyai mesej tersembunyi bahawa wanita perlu bersabar, menerima dan memaafkan tingkah laku ganas suami mereka.

“Ini tidak boleh diterima dan sebagai timbalan menteri, beliau sepatutnya memperkasakan wanita dengan menegaskan mereka layak untuk bebas daripada keganasan dan ketakutan, selain menegaskan keselamatan kanak-kanak dan wanita adalah keutamaan kementeriannya," katanya dalam kenyataan.

SIS berkata lagi, video itu menunjukkan kementerian tersebut gagal memahami isu dan keadaan dalam sebuah hubungan di mana keganasan rumah tangga berlaku.

Semalam, Siti Zailah memuat naik rakaman video di media sosial, di mana beliau mengakui PKP boleh memberi tekanan kepada keluarga, yang akhirnya menyebabkan masalah keganasan rumah tangga.

Beliau memberikan tiga kaedah untuk meredakan tekanan, termasuk mempunyai sifat menghargai pasangan, memberi kemaafan dan ketaatan kepada agama.

Pada masa sama, Siti Zailah berkata mangsa keganasan rumah tangga perlu menghubungi hotline Talian Kasih kendalian kementeriannya, untuk mendapatkan bantuan.

View this post on Instagram

Sama-sama kita hayati dan dengar pesanan serta nasihat bagaimana untuk menghadapi tekanan dalam keluarga ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh YB Dato Hajah Siti Zailah Mohd Yusoff, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. #MalaysiaSejahtera #PrayForMalaysia #stayathomemom

A post shared by Dato’ Hajah Siti Zailah (@sitizailahmohdyusoff) on

?

Meskipun beliau tidak berkata secara terang-terangan bawaha wanita perlu menerima, bersabar dan memaafkan pasangan yang bertindak ganas, sejumlah pihak, termasuk aktivis sosial Marina Mahathir, mentafsirkan mesej yang disampaikan konteks keseluruhan video, sebagai demikian.

Sementara itu, SIS berkata Siti Zailah dan KPWKM sewajarnya lebih jelas dalam menyampaikan mesej berkenaan melindungi wanita dan kanak-kanak dalam hubungan yang berlakunya keganasan rumah tangga.

“Siti Zailah perlu menjadikan video Ketua Pengarah Kehakiman Syariah Mohd Na'im Mokhtar berkenaan cara mengendalikan keganasan rumah tangga ketika PKP sebagai contoh.

“Dalam video itu, Mohd Na’im menasihati wanita agar melindungi diri dan anak-anak dengan tidak menjadikan diri sebagai punching bag dan agar ada keberanian untuk meninggalkan rumah jika didera.

“Beloai juga menyebut bahawa wanita tidak akan digelar nusyuz jika meninggalkan rumah dan suami yang mendera, dan kita semua ada tanggungjawab untuk menjaga tubuh kita daripada bahaya," kata NGO itu lagi.

Malaysiakini telah menghubungi timbalan menteri terbabit untuk mendapatkan penjelasan lanjut berkenaan perkara ini.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Langgan dan sokong media bebas

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Iklan