BERITA

'Terus ke mahkamah' - Ismail beri amaran pada orang langgar PKP

Diterbitkan
Dikemaskini 11 Apr 2020, 9:33 pagi

Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob meningatkan orang ramai agar tidak melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP) atau berdepan risiko ditangkap serta-merta.

Polis akan menggunakan budi bicara sama ada untuk mengenakan denda RM1,000 terhadap atau menahan serta mendakwa mereka, katanya.

Dalam sidang media hari ini, Ismail berkata polis telah memutuskan untuk mengambil tindakan lebih tegas untuk meningkatkan kepatuhan orang awam dalam fasa ketiga PKP, iaitu bermula 14 hingga 28 April.

"Mereka yang ingkar PKP kali ini akan ditangkap dan dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 24 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988," katanya yang juga menteri kanan untuk kluster keselamatan.

Mengikut akta itu, pesalah kali pertama boleh didenda tidak lebih dua tahun penjara atau denda, atau kedua-duanya sekali. Pesalah berulang pula boleh dipenjara tidak lebih lima tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

"Semalam kita lihat pertambahan dari segi jumlah tangkapan...Polis tak lagi berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas...Kita serah kepada polis sama ada (ingin memberikan) kompaun atau tidak.

"Kita serahkan kepada polis tapi yang pasti, mereka (pesalah) akan ditangkap dan akan dituduh di mahkamah," katanya.

Menurutnya, sejumlah 1,095 orang ditangkap kerana melanggar PKP semalam, lebih tinggi berbanding 666 orang sehari sebelumnya.

Daripada jumlah itu, 815 orang dikenakan denda RM1,000, 242 orang direman dan 38 lagi diberikan jaminan polis.

Tindakan terhadap pihak tak beri kerjasama

Ismail yang bercakap selepas mesyuarat harian Majlis Keselamatan Negara (MKN), berkata tindakan undang-undang juga akan diambil terhadap mereka yang gagal mematuhi arahan kakitangan Kementerian Kesihatan.

"Mesyuarat hari ini memutuskan tindakan tegas akan diambil kepada mereka, mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam," katanya lagi.

Seksyen 186 Kanun Keseksaan menyatakan mereka yang didapati bersalah boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun, atau kedua-duanya sekali.

Sebelum ini, beberapa doktor bersuara di media sosial berkenaan warga Malaysia yang baru pulang dari luar negara yang tidak memberi kerjasama ketika menjalani ujian pengesanan dan kuarantin mandatori.


Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Langgan dan sokong media bebas

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.