BERITA

'Tunggu data KKM sebelum benarkan pelajar di kampus pulang'

Geraldine Tong

Diterbitkan

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dinasihatkan supaya bersabar sebelum membenarkan pelajar yang tinggal di kampus semasa tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) pulang ke rumah.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata pihaknya akan mengkaji semula data terkini dalam seminggu proses fasa ketiga PKP sebelum menasihati KPT berhubung perkara berkenaan.

“Memandangkan kita sedang memasuki fasa yang penting iaitu fasa ketiga, kita perlu memperketatkan kawalan kita lagi untuk turunkan kes.

“Anggaran kita, kita mungkin akan berjaya sekiranya semua rakyat bersama KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) untuk memastikan kita perketatkan tindakan fasa satu dan dua dan semoga fasa ketiga berjaya mengurangkan kes.

“Jadi nasihat kepada KPT adalah bersabar, mungkin dalam seminggu dua, sekurang-kurangnya dalam tempoh seminggu kita akan melihat data-data terkini. Jadi kalau kita ada data terkini dalam tempoh seminggu fasa ketiga, kita boleh beri nasihat kepada KPT,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Terdahulu, media melaporkan bahawa KPT bakal mengadakan mesyuarat khas kabinet bagi membenarkan pelajar universiti yang menginap di hostel untuk pulang ke rumah masing-masing.

Bagaimanapun, cadangan tersebut telah ditolak oleh Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media awal hari ini.

Kata Ismail, meskipun KKM sedang mengkaji cadangan tersebut dan jika pelajar dibenarkan pulang ia akan melibatkan sebilangan yang besar walaupun ia dilakukan secara berperingkat.

“Pelajar ada lebih kurang hampir 80,000 pelajar di seluruh negara, iaitu pelajar institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan institut pengajian tinggi swasta (IPTS).

“Jumlah yang kita dapat itu adalah daripada pelajar-pelajar yang tinggal di kampus kolej, tidak termasuk pelajar-pelajar yang tinggal di luar kampus, yang menyewa rumah sendiri," katanya.

Tambahnya, KKM perlu meneliti kesan cadangan tersebut terhadap PKP terlebih dahulu.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Langgan dan sokong media bebas

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.