BERITA

Peperiksaan semester II matrikulasi dibatalkan

Bernama

Diterbitkan

Peperiksaan Semester II Program Matrikulasi (PSPM) Kementerian Pendidikan (KPM) Sesi 2019/2020 yang dijadualkan pada 27 April hingga 4 Mei dibatalkan, setelah kementerian itu membuat penelitian ke atas situasi semasa wabak Covid-19 di negara ini.

Berikutan pembatalan itu, KPM memutuskan bahawa pengajian Program Matrikulasi KPM bagi Sesi 2019/2020 ditamatkan sepenuhnya bermula hari ini.

KPM dalam satu kenyataan hari ini berkata berikutan lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 28 April, kementerian itu turut memutuskan bahawa keputusan peperiksaan Semester II akan digantikan dengan keputusan penilaian berterusan yang telah dilaksanakan bagi semester tersebut.

"Ini adalah selari dengan keputusan mesyuarat Majlis Dekan atau Pengarah Asasi Universiti Awam pada 24 Mac. KPM menyedari keputusan peperiksaan tersebut (Semester II) amat penting kepada para pelajar Program Matrikulasi Sesi 2019/2020 yang ia akan digunakan bagi permohonan ke Universiti Awam (UA) kemasukan Sesi 2020/2021.

“Justeru, keputusan akhir untuk pelajar Matrikulasi Sesi 2019/2020 adalah berdasarkan gabungan keputusan Semester I dan keputusan penilaian berterusan Semester II," menurut KPM.

KPM meminta semua pelajar yang masih berada di kampus untuk terus kekal mematuhi arahan berkaitan selain pihaknya akan terus memantau keadaan pelajar secara dekat dan mengambil tindakan susulan untuk memastikan keselamatan dan kebajikan pelajar adalah terpelihara.

“KPM terus komited dalam usaha mengawal penularan jangkitan COVID-19 termasuk dalam kalangan pelajar, pensyarah dan kakitangan Kolej Matrikulasi KPM,” menurut kenyataan itu.

- Bernama

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Langgan dan sokong media bebas

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Iklan