BERITA

AS atasi Itali dengan angka kematian lebih 20,000

Diterbitkan
Dikemaskini 12 Apr 2020, 3:39 pagi

Amerika Syarikat mengatasi Itali pada hari Sabtu sebagai negara yang mencatatkan jumlah kematian akibat Covid-19 tertinggi, dengan mencatatkan lebih 20,000 kematian sejak wabak itu bermula, lapor Reuters.

Presiden Donald Trump berkata beliau berharap negara itu yang kini mencatatkan lebih setengah juta jangkitan, kembali kepada keadaan normal.

Amerika Syarikat menyaksikan jumlah kematian tertinggi setakat ini dengan kira-kira 2,000 kematian sehari yang dilaporkan selama empat hari berturut-turut terutamanya di New York.

New York kini masih mencari cara terbaik untuk mengurangkan kadar kematian dalam statistik rasminya.

Pakar kesihatan awam memberi amaran jumlah kematian di AS boleh mencapai 200,000 pada musim panas jika perintah berkurung yang menyebabkan perniagaan ditutup dan kebanyakan orang tinggal di rumah, ditarik semula selepas 30 hari.

Kebanyakan sekatan termasuk penutupan sekolah dan perintah penutupan perniagaan yang tidak penting terletak di bawah bidang kuasa gabenor negeri dan bukan presiden.

Bagaimanapun, Trump mengatakan dia mahu keadaan kembali normal secepat mungkin dan langkah diambil bagi membendung penyebaran Covid-19.

Negara itu dilihat lambat mengenakan sekatan, terutama di California.?

Di New York, dua pegawai tertinggi dari Demokrat dilihat tidak bersetuju antara satu sama lain atas bidang kuasa dan terminologi yang digunakan dalam melaksanakan langkah-langkah tertentu.

Pada pagi Sabtu, Datuk Bandar Bill de Blasio mengumumkan bahawa sekolah awam di New York tidak akan dibuka semula pada 20 April dengan mengatakan ia adalah "perkara yang betul untuk dilakukan."

Bagaimanapun, Gabenor New York Andrew Cuomo dalam sidang medianya menolak keputusan itu sebagai "pendapat", dan mengatakan beliau akan membuat keputusan sendiri mengenai penutupan sekolah, lapor Reuters.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Langgan dan sokong media bebas

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Iklan