BERITA

Pikom: IT patut dipertimbang sebagai 'perkhidmatan sangat penting'

Diterbitkan
Dikemaskini 12 Apr 2020, 4:55 pagi

Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (Pikom) menggesa kerajaan mempertimbangkan industri sokongan dan perkhidmatan teknologi maklumat (IT) sebagai "perkhidmatan yang sangat penting".

Dalam satu kenyataan semalam, Pikom berkata sistem IT menyokong banyak sektor perkhidmatan penting di negara ini.

"Ini termasuk sistem untuk mengakses pelayan fail (file server), sumber manusia, gaji, perakaunan, logistik, inventori dan gudang, jualan dan CRM (pengurusan perhubungan pelanggan).

"Ini hanya boleh dilakukan jika infrastruktur dan aplikasi IT terus beroperasi di lokasi dan tersedia kepada pekerja.

"Ini bermakna beberapa fungsi ini tidak boleh dilakukan dari rumah. Ia memerlukan kakitangan teknikal di lokasi atau di pejabat untuk memastikan aplikasi itu boleh dipeolehi," kata Pikom.

Selain itu, Pikom berkata beberapa perkhidmatan penting memerlukan kakitangan IT berada di lokasi untuk menggantikan perkakasan dan kerajaan perlu memastikan produk IT serta komponennya dijual dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

"Walaupun industri memahami ini boleh menjejaskan keberkesanan PKP, adalah penting rakyat Malaysia dapat bekerja dari rumah dengan perkakasan semaksimum yang boleh, selagi infrastruktur dan ketersambungan berjalan.

"Ini memudahkan banyak syarikat mengatur susunan kerja dari rumah," katanya.

Pikom berkata, tanpa sokongan dan perkhidmatan IT, lebih satu juta perniagaan akan terjejas.

Pengerusi persatuan itu, Danny Lee berkata Pikom telah melobi kerajaan, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung perkara itu selama dua minggu.

Lee berkata Malaysia boleh mencontohi Singapura, yang membolehkan sektor IT beroperasi semasa perintah berkurung dilaksanakan.

Beliau menegaskan sektor IT Malaysia menyumbang 18.5 peratus kepada KDNK, menyokong hampir setiap industri kritikal yang lain di negara ini yang menampung lebih satu juta orang.

Pada 10 April, kerajaan melanjutkan bilangan sektor yang dibenarkan beroperasi dalam tempoh PKP. Namun perkhidmatan IT bukan sebahagian daripada sektor yang dibenarkan beroperasi.?

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Langgan dan sokong media bebas

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Iklan