BERITA

Muat naik video dakwa CIQ di JB dirempuh, polis ambil keterangan Fuziah

Bernama

Diterbitkan

Polis sudah mengambil keterangan Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh Jumaat lepas bagi membantu siasatan berhubung dakwaan kebanjiran warga Malaysia yang pulang dari Singapura di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Huzir Mohamed, berkata catatan bersama sebuah rakaman video berhubung dakwaan itu dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook menggunakan nama ‘Fuziah Salleh’.

Menurutnya, Imigresen Johor turut menafikan dakwaan itu dan membuat laporan polis.

“Gajet (peralatan) digunakan untuk memuat naik kenyataan berkenaan dirampas dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, siasatan diklasifikasikan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan masing-masing kerana fitnah dan mendatangkan khianat awam serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Sementara itu, Fuziah dalam kenyataannya semalam berkata beliau telah memberi kerjasama kepada pihak berkuasa dengan memberi keterangan terhadap siasatan video yang telah dimuat naik melalui akaun Facebook.

“Kini pihak berkuasa sedang membuat siasatan lanjut dan saya menegaskan komitmen untuk memberikan kerjasama sewajarnya. Pada masa yang sama, saya menggesa pihak media untuk berhenti membesarkan isu ini sehingga siasatan selesai,” kata Fauziah dalam kenyataannya itu.

Sementara itu, seorang wanita berumur 48 tahun ditahan semalam kerana dipercayai memuat naik dua kenyataan (catatan) menerusi akaun Facebooknya ‘Wendy Shoo Wai Ching’, yang berunsurkan hasutan serta boleh menggugat keamanan negara.

Huzir berkata, pihaknya turut merampas gajet yang digunakan suspek untuk memuat naik kenyataan itu bagi membantu siasatan.

Siasatan diklasifikasikan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan masing-masing kerana kecenderungan menghasut dan sengaja mengaibkan dengan niat membangkitkan pecah keamanan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

“Siasatan masih diteruskan dan hasil siasatan akan dirujuk ke Jabatan Peguam Negara untuk mendapatkan arahan selanjutnya,” katanya.

Beliau turut menggesa orang ramai untuk tidak membuat, menerbitkan atau mengedarkan sebarang kenyataan, khabar angin termasuk berita yang mempunyai kecenderungan menghasut serta boleh mendatangkan suasana tidak harmoni, perpecahan, perasaan permusuhan serta mengganggu-gugat ketenteraman dan keselamatan awam.

“Polis juga tidak akan berkompromi ke atas mana-mana pihak yang sengaja mencuba melakukan pecah keamanan dan tindakan tegas akan diambil bagi mengheret pesalah ke muka pengadilan,” katanya.

-Bernama

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Langgan dan sokong media bebas

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Iklan