BERITA

Sebulan selepas janji isytihar harta

Sheikh Umar Bagharib Ali

Diterbitkan

ULASAN | Saya meneliti semula komitmen Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin seperti yang beliau umumkan menerusi sidang media sejurus selepas mempengerusikan mesyuarat sulung kabinet pada 11 March 2020 lalu.

Perdana menteri dalam pengumuman tersebut menyatakan, semua anggota kabinet dikehendaki mengisytiharkan harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan mereka diberi tempoh sebulan untuk melakukannya.

Hari ini 12 April 2020, genaplah satu bulan lebih dari tarikh pengumuman tersebut dibuat. Saya ingin bertanya, adakah kabinet Perikatan Nasional (PN) sudah isytihar harta?

Kedua, saya ingin menyeru agar kerajaan pimpinan perdana menteri mengambil langkah yang sama seperti ketika beliau menjadi Menteri Dalam Negeri dalam kerajaan PH dahulu, iaitu dengan memaparkan maklumat pengisytiharan harta tersebut menerusi portal mydeclaration dan boleh diakses orang awam.

Perkara ini amat penting bagi memastikan kerajaan terus kekal berada atas paksi integriti dan ketelusan sepanjang tempoh pentadbirannya.

Saya cukup yakin dan percaya, meskipun negara sedang berhadapan pandemik Covid-19, ia tidak menghalang perdana menteri dan kabinetnya meneruskan proses pengisytiharan harta ini. Pada hemat saya, ia bukanlah sesuatu yang terlalu sukar.

Apa yang diperlukan hanyalah keberanian dan keazaman politik yang kuat oleh setiap anggota kabinet untuk memastikan kerajaan yang mentadbir hari ini dilihat sebagai sebuah kerajaan yang bersih dan telus.

Bahkan, ia lebih mudah berbanding urusan kerajaan yang lain, contohnya proses mengagihkan jawatan sebagai pengerusi atau ahli lembaga pengarah syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta Badan-badan Berkanun kepada pemimpin-pemimpin UMNO dan PAS khususnya.


Baca:?Bagaimana Muhyiddin perkukuh kuasa melalui lantikan GLC


Saya fikir hal itu memerlukan rundingan lebih rumit untuk menjaga survival serta kestabilan kerajaan PN apatah lagi di saat segala kudrat kerajaan sedang difokuskan kepada usaha-usaha melawan Covid-19 ketika ini.

Saya juga yakin, perdana menteri akan memastikan proses pengisytiharan harta serta akses paparan umum di portal ini akan dilaksanakan sepertimana yang dilakukan oleh kerajaan PH di bawah pimpinan Dr Mahathir Mohamad dahulu, dan Muhyiddin sendiri adalah sebahagian daripada anggota jemaah menterinya.

Lebih-lebih lagi beberapa hari menjelang bulan Ramadhan yang mulia di sisi umat Islam, kita harap kerajaan yang disebut-sebut 99 peratus Melayu-Islam dalam sejarah tanah air ini akan bersegera mengambil langkah mengisytihar harta seiring dengan semangat 'tazkiyyatu an-nafs'.?


SHEIKH UMAR BAGHARIB ALI ialah Ketua Pemuda DAP Johor dan Adun Paloh.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Langgan dan sokong media bebas

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Iklan