BERITA

Tolong cerdik sikit Afif, kata setiausaha politik Anwar

Diterbitkan
Dikemaskini 12 Apr 2020, 9:11 pagi

Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak menegur Adun Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin selepas didakwa memetik jurnal perubatan tanpa kaji selidik terlebih dahulu bagi menyokong pembukaan semula kedai gunting rambut.

Dalam satu kenyataan bertajuk 'Tolong cerdik sikit Afif', Farhash mempersoalkan rasional pengumuman Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) agar salon dan kedai gunting rambut dibenarkan beroperasi semula.

Farhash berkata, keputusan tersebut kemudian disokong Afif dengan memetik sebuah jurnal perubatan.

"Kementerian Kesihatan (KKM) telah meminta kerajaan menangguhkan dahulu kebenaran untuk membuka semula beberapa sektor ekonomi termasuk perkhidmatan gunting rambut sekurang-kurangnya dua minggu lagi.

"Namun ini tidak menghalang Dr Afif Bahardin dalam kekalutan memberi sokongan kepada Azmin dengan sekadar memetik tajuk jurnal perubatan tanpa kaji selidik," kata Farhash yang juga merupakan setiausaha politik kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Semalam Afif dalam tulisan di Twitternya mengatakan perkhidmatan gunting rambut mempunyai asas perubatan kerana mampu mengurangkan tekanan darah tinggi berdasarkan kajian oleh sebuah jurnal perubatan.

"Perkhidmatan gunting rambut mempunyai asas dari sudut kajian perubatan yang dilaksanakan oleh The New England Journal of Medicine menjelaskan bahawa perkhidmatan ini mampu mengurangkan tekanan darah tinggi, antara salah satu tekanan yang dihadapi rakyat Malaysia ketika ini," katanya di Twitter.

Kenyataan itu hadir susulan kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri terhadap sejumlah perkhidmatan dan sektor untuk kembali beroperasi ketika perintah kawalan pergerakan, antaranya perkhidmatan gunting rambut asas.

Pengumuman itu bagaimanapun dibantah pelbagai pihak, termasuk persatuan pendandan rambut sendiri kerana dikatakan bakal mendedahkan tukang gunting dan pelanggan dengan jangkitan Covid-19.

Bagaimanapun Farhash berkata artikel itu hanya merujuk sebuah kedai gunting rambut di Amerika yang pernah dijadikan tempat mengagihkan ubat tekanan darah tinggi.

"Sumber artikel yang diambil dari NBC News dilaporkan oleh Maggie Fox dan Ian Wenger bertarikh 13 Mac 2018 adalah tidak relevan dalam konteks perdebatan Afif dalam hal ini.

"Saya berharap ahli politik akan lebih berhemah dalam mengeluarkan kenyataan agar tidak membahayakan kesihatan dan nyawa rakyat Malaysia dalam menangani wabak covid- 19," kata Farhash.

Sementara itu, Afif semalam turut menjelaskan pendapatnya mengapa perkhidmatan gunting rambut harus dibenarkan beroperasi semula dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dilanjutkan.

Menurut Afif, kerajaan harus mencari jalan untuk menyesuaikan kehidupan rakyat sesegera mungkin.?

"Sebab itu kata kuncinya adalah bagaimana kita mencari solusi untuk rakyat beradaptasi dengan “new normal” ini.

"Kehidupan harus terus, kesihatan harus dijaga, wabak wajib dicegah," katanya.

Selain itu Afif berkata beliau bukan pegawai Azmin dan pendapat itu disuarakan atas kapasitinya sebagai Adun Seberang Jaya dari PKR.

Untuk rekod, Afif sebelum ini dikaitkan sebagai antara orang kanan Azmin sebelum menteri berkenaan mengumumkan keluar PKR dan bekerjasama dengan Umno dan PAS untuk menubuhkan kerajaan baru yang dipimpin Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin.

Pada 28 Mac lalu, Afif dispekulasikan dilantik sebagai pegawai tugas-tugas khas di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) yang diterajui Azmin. Beliau bagaimanapun menafikan dakwaan berkenaan.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Langgan dan sokong media bebas

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Iklan