Malaysiakini
BERITA

Setiausaha kerja tiada kuasa pecat pemimpin Bersatu - Marzuki

Diterbitkan
Dikemaskini 28 Mei 2020, 3:24 petang

Dikemaskini 11.20pm | Setiausaha Kerja Bersatu, Muhammad Suhaimi Yahya tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan surat pemecatan terhadap Pengerusi Bersatu, Dr Mahathir Mohamad dan pemimpin parti lain, kata Pengerusi Bersatu Pulau Pinang, Marzuki Yahya.

Bercakap kepada Malaysiakini,??beliau berkata?perlembagaan Bersatu memberikan kuasa sedemikian kepada setiausaha agung, sedangkan setiausaha kerja tidak diiktiraf dalam perlembagaan parti.

"Orang yang mengeluarkan surat itu harus dipecat dan kandungan surat itu sama sekali tidak ada asas. Tun dan yang lain masih sah sebagai ahli,”katanya.

Marzuki berkata beliau masih merupakan setiausaha agung parti itu dan urusan berkaitan keahlian berada di bawah bidang kuasanya.

Tambahnya, pemecatan anggota juga sepatutnya dirujuk kepada lembaga disiplin dan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti terlebih dahulu, namun perkara itu tidak dilakukan.

Untuk rekod, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sebelum ini mengumumkan dirinya sebagai pemangku pengerusi parti sebelum menyingkirkan Marzuki sebagai setiausaha agung pada 18 Mac lalu.

Mahathir mendakwa pemecatan Marzuki tidak sah dan masih mengiktirafnya sebagai setiausaha agung, manakala Muhyiddin melantik Hamzah Zainudin bagi jawatan itu.

Marzuki mengulas surat yang dikeluarkan hari ini kepada Mahathir, anaknya Mukhriz; Ketua Pemuda Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman serta anggota Majlis Tertinggi Bersatu, Maszlee Malik dan Amiruddin Hamzah.

Menurut surat berkenaan, keahlian mereka 'terhenti serta merta' selepas duduk di "blok yang tidak menyokong kerajaan Perikatan Nasional" semasa sidang parlimen 18 Mei lalu.

Sementara itu, sumber yang rapat dengan pejabat Mahathir berkata keputusan itu tidak selaras dengan konvensyen parti.

“Parti itu tidak mengikut konvensyen untuk meminta tertuduh membela diri di hadapan lembaga disiplin.

"Sebenarnya, tidak ada mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi untuk membincangkan hal ini," kata sumber berkenaan.

Sementara itu, dua anggota MPT Bersatu yang berpihak kepada Mahathir, Tariq Ismail dan Akramsyah Muammar Ubaidah Sanusi, juga menyuarakan bantahan terhadap keputusan tersebut.

Dalam kenyataan berasingan, kedua-duanya berkata tidak ada mesyuarat MPT dipanggil untuk memutuskan perkara berkenaan.

Tariq menegaskan pemecatan ahli hanya boleh dilakukan oleh MPT yang dipengerusikan oleh pengerusi parti, manakala lembaga disiplin hanya badan yang mendengar fakta kes dan menyarankan tindakan setimpal kepada MPT.

"Jika ada sidang MPT dipanggil secara rahsia kerana melibatkan Pengerusi parti, maka ini senario yang tidak dijangka dan tidak diperuntukkan di dalam perlembagaan.

"Di dalam situasi sebegini, sepatutnya diadakan Persidangan Agung Luarbiasa. Ini logik dan prinsip demokrasi sejagat," katanya.

Akramsyah pula mendakwa Suhaimi bertindak di luar bidang kuasanya dalam menandatangani surat-surat berkenaan dan mendesak agar Pengerusi GLC Asia Aero-Technic itu melepaskan jawatannya.

'Wakil ketua Pemuda Bersatu pertahankan Syed Saddiq'

Di peringkat Pemuda Bersatu, wakil Syed Saddiq, Mohd Aizad Roslan, menegaskan sayap pemuda itu masih mengiktiraf anggota parlimen Muar itu sebagai ketua mereka dan ahli Bersatu.

Terdahulu, ahli MPT Bersatu, Wan Saiful Wan Jan berpendapat kelima-lima mereka tidak dipecat tetapi keanggotaan mereka secara automatik digugurkan daripada parti berkenaan.



Laporan tambahan oleh Hariz Mohd

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Langgan dan sokong media bebas

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.