Malaysiakini
BERITA

PN Melaka didakwa sambung tugas 2 pegawai 'bermasalah'

Ng Xiang Yi

Diterbitkan

Perikatan Nasional (PN) Melaka kini didakwa menyambung semula tugas dua pegawai kanan yang dikaitkan dengan penyelewengan serta salah guna kuasa untuk bertugas di anak syarikat kerajaan negeri tersebut.

Menurut sumber, anak syarikat yang terlibat ialah Melaka ICT Holdings Sdn Bhd (MICTH) yang dipengerusikan Ketua Menteri Sulaiman Md Ali, manakala setiausaha politik beliau, Sazali Muhd Din, menjadi timbalan pengerusi.

Berdasarkan surat yang dilihat Malaysiakini, kedua-dua penjawat awam yang bertaraf pengurus tersebut dipanggil bertugas semula sejak 21 April lalu.

“Bagi tujuan kebaikan bersama, pengurusan baru Melaka dengan ini telah mengambil keputusan untuk menarik semula surat penamatan perkhidmatan yang bernombor (xxxx),” petikan surat tersebut yang ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif MICTH, Firdaus Saedin.

Salinan surat tersebut turut dihantar kepada Sulaiman dan Sazali atas kapasiti mereka sebagai pengerusi dan timbalan pengerusi lembaga tersebut.

MICTH merupakan syarikat milik tunggal Tabung Amanah Melaka dan bertanggungjawab sebagai peneraju utama dalam bidang infrastruktur telekomunikasi dan industri maklumat, komunikasi dan teknologi (ICT) di negeri berkenaan.

Menurut sumber dalaman, kedua-dua penjawat awam tersebut dikaitkan dengan isu penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan hal ehwal transaksi bayaran dan pelantikan syarikat kontraktor.

Hanya jalankan tugas untuk rakyat

Katanya, laporan Jabatan Audit Negara terhadap MICTH pada 2019 mendapati sejumlah 23 baucar bayaran - dengan jumlah nilai melebihi RM1.3 juta - dibayar tanpa kelulusan atau melebihi had pegawai kewangan MICTH pada masa itu.

"Terdapat 17 baucar pembayaran yang melebihi had pengurus akaun dengan jumlah nilai RM0.83 juta, manakala enam pembayaran dibuat tanpa kelulusan dengan jumlah RM0.5 juta,” tambahnya.

Di samping itu, laporan tersebut turut mendapati terdapat tujuh surat tawaran pelantikan kontraktor dikeluarkan salah seorang pegawai kanan terbabit tanpa kelulusan lembaga pengarah.

Pelantikan tersebut, katanya, sudah diarahkan agar ditangguhkan semasa Melaka ditadbir oleh Pakatan Harapan (PH).

Dakwaan berkenaan adalah benar berdasarkan laporan pemerhatian Jabatan Audit Negara yang dibaca Malaysiakini.

Sumber terbabit memberitahu, Adun Adun Ayer Keroh, Kerk Chee Yee, yang merupakan pengerusi lembaga pengarah MICTH ketika itu menggantung perkhidmatan kedua-dua pegawai terbabit dan menjalankan siasatan dalaman.

Kerk Chee Yee

“Soalan munasabah ditanyakan kepada ketua menteri Melaka sekarang ialah, apakah kepentingan beliau dan setiausaha politiknya mengambil semula pegawai yang terbabit?

“Sekali lagi Laporan Pemerhatian Audit Negara ini juga membersihkan nama kerajaan PH Melaka dan membuktikan bahawa pengerusi lembaga pengarah dan ketua pegawai eksekutifnya ketika itu hanya menjalankan tugas dengan amanah untuk kepentingan rakyat Melaka,” kata sumber.

Apabila dihubungi Malaysiakini, Firdaus Saedin, enggan memberi kenyataan lanjut dan menganggapnya sebagai hal dalaman syarikat berkenaan.

“Maaf saya tidak dapat membuat sebarang komen,” katanya.

Masih digantung tugas

Malaysiakini telah menghubungi Pejabat Ketua Menteri Melaka dan masih menunggu respon mereka.

Sementara itu, Kerk mengesahkan dua pegawai kanan yang terbabit adalah pegawai yang disiasat dan diberhentikan tugas sewaktu beliau berada di MICTH.

Beliau yang juga exco komunikasi dan multimedia Merlaka sewaktu pemerintahan PH sudah membuat laporan polis dan merujuk perkara tersebut kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Mac 2019.

Apabila ditanya, Kerk berkata tidak ada apa yang dihairankan kerana sebelum ini beliau menghadapi banyak kekangan apabila dipaksa mengambil tindakan ke atas dua pegawai terbabit.

Ketua Menteri Melaka, Sulaiman Md Ali (tengah)

Katanya walaupun siasatan dalaman menunjukkan kedua-dua pegawai terbabit melakukan salah laku yang serius, arahan beliau agar mereka ditamatkan perkhidmatan tidak dipatuhi.

“Perkara ini pernah dibawa ke mesyuarat Lembaga Pengarah MICTH untuk perbincangan beberapa kali dan pertikaian yang sengit berlaku.

“Sehingga kejatuhan rejim PH dan saya diberhentikan sebagai pengerusi MITCH dan jawatan exco, kedua-dua pegawai tersebut masih digantung tugas,” kata Kerk.

Justeru Kerk menyeru kerajaan PN Melaka supaya memastikan pemeriksaan terperinci dijalankan dan kedaulatan undang-undang serta integriti dipertahankan supaya reputasi penjawat awam yang lain tidak terjejas.?


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

?

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Langgan dan sokong media bebas

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.