Malaysiakini
BERITA

'Siapa kata ada parti baru?'

Diterbitkan
Dikemaskini 8 Jul 2020, 1:01 tengahari

Menteri Perdagangan dan Industri Antarabangsa Mohamed Azmin Ali menepis spekulasi yang mengatakan bahawa dia mungkin akan menubuhkan parti politik baru untuk kumpulan penyokongnya.

Azmin telah memimpin 10 anggota parlimen PKR, termasuk dirinya, meninggalkan parti dan gabungan Pakatan Harapan (PH) dalam Langkah Sheraton untuk membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada akhir Februari lalu.

Bagaimanapun, selepas meninggalkan parti, platform politik mereka tidak jelas.

“Saya tidak tahu apa-apa mengenai parti baru. Siapa kata ada parti baru?” katanya seperti dilapor Free Malaysia Today.

Sekutu Azmin telah menyediakan sekurang-kurangnya dua NGO untuk mengumpulkan penyokongnya.

Adun Seberang Jaya Dr Afif Bahardin telah menubuhkan Pemuda Negara sementara Adun Lembah Jaya Haniza Talha telah menubuhkan Nation of Woman (NOW).

Afif dan Haniza sebelum ini dipecat dari PKR.

Dua NGO itu dilihat kemungkinan menjadi sayap pemuda dan wanita untuk parti politik baru.

Ditanya sama ada kelewatan penubuhan parti politik baru itu kerana berdepan penangguhan dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan, Azmin menegaskan bahawa tidak ada permohonan yang pernah dibuat.

Buat masa ini, Azmin dan kumpulannya dilihat 'berteduh' bersama Bersatu meskipun mereka belum secara rasmi menyertai parti itu.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Langgan dan sokong media bebas

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.