SUKAN

Peminat perlu terima jika Piala Malaysia tahun ini tiada

Diterbitkan
Dikemaskini 24 Mac 2020, 2:39 pagi

Di antara emosi, sentimental dan nyawa, sudah tentu keselamatan diri lebih penting.

Justeru andainya saingan Piala Malaysia tidak dilangsungkan tahun ini, peminat bola sepak perlu menerimanya secara terbuka.

Bekas jurulatih skuad kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan, berkata soal nyawa dan keselamatan orang ramai harus menjadi keutamaan semua pihak ketika ancaman Covid-19 masih belum dapat dikalahkan.

"Kalau fikirkan sayang (kerana Piala Malaysia) kejohanan tertua, memang kita akan fikir begitu.

"Tapi kalau kita fikir berkenaan nyawa dan keselamatan semua pihak, kita kena berkorban," katanya seperti dipetik BH Online semalam.

Menurut Wan Jamak, langkah penangguhan tersebut bukan saja diambil oleh Malaysia malah negara lain di seluruh dunia.

Katanya wabak itu mengancam nyawa semua pihak termasuk pemain dan penonton.

“Walaupun saingan Piala Malaysia kebiasaannya berlangsung di penghujung musim, penangguhan aksi Liga Malaysia (Liga M) ketika ini boleh menjejaskan perancangan.

“Sekiranya penangguhan itu mengambil tempoh yang lama ia akan menyebabkan saingan seperti Liga Super, Liga Perdana dan Piala FA dijangka berlanjutan hingga hujung tahun untuk dihabiskan,” jelasnya.

Setakat semalam, Malaysia telah mencatatkan kes positif Covid-19 sebanyak 1,518 kes dengan 14 kematian.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Langgan dan sokong media bebas

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.